Kehangatan RasaThai

Share on Facebook0Tweet about this on Twitter0Share on Google+0Email this to someonePin on Pinterest0

Masakan Thai tidak pernah menjemukan, khususnya bagi penggemar masakan pedas. Kinnaree Thai Restaurant, satu lagi pilihan buat anda.

Apabila tiba hujung bulan, sewaktu poket masih penuh pasti anda teringin menikmati hidangan dalam suasana selesa, nyaman, enak dan dalam masa yang sama harganya berpatutan. Jika itu yang anda cari, Kinnaree Thai Restaurant di Petaling Jaya antara yang memenuhi kriteria tersebut.

Suasananya tenang, dan gaya interiornya memang jelas menonjolkan wajah negara gajah putih itu. Pabila melangkah masuk, mata pengunjung pasti tertumpu pada pokok berdaun emas yang terlekat di dinding. Pada satu bahagian dindingnya dibahagikan kepada beberapa bahagian dan disimbah dengan rona terang seperti ungu, jingga, kuning dan merah. Menguatkan elemen masyarakat Thai, bingkai gambar bunga teratai menghiasi dinding.

Menyentuh hidangannya, saya sarankan anda menikmati Yam Sam O, iaitu salad tradisi Thai yang mengandungi udang dan ayam. Rasanya sungguh unik, kacang serta ayam menambah kerangupan pada pembuka selera ini.

Tidak lengkap jika restoran Thai tidak mempunyai tom yam. Di sini, anda boleh memilih variasi rasa tom yam seperti tom yam ayam dan makanan laut. Harga bagi tom yam ayam misalnya mencecah RM10 (untuk seorang), RM18 (dua orang makan) dan RM32 (satu periuk).

Untuk hidangan utama, anda boleh mencuba Kari Ayam Hijau atau Ayam Pandan. Jika anda penggemar masakan pedas bolehlah mencuba Basil Ayam, yang mana ayam digoreng bersama variasi herba seperti daun basil dan kacang. Kesemua hidangan utama ini didatangkan dalam dua saiz, sederhana dan besar.

Untuk pencuci mulut, bolehlah mencuba masakan tradisi Thai seperti aiskrim durian atau mangga bersama pulut. Pisang goreng juga boleh dinikmati di sini, namun dalam gaya yang lebih istimewa bersama sirap dan aiskrim. Wahai penggila masakan Thai, tunggu apa lagi, bukakan langkah ke Kinnaree Thai Restaurant di Jaya One, Jalan Universiti, Petaling Jaya. Hubungi 03-7957 3910 untuk sebarang pertanyaan.

Share on Facebook0Tweet about this on Twitter0Share on Google+0Email this to someonePin on Pinterest0

Komen Anda

*