Inspirasi: Rizman Ruzaini

Kehadiran mereka sebagai pereka fesyen duo yang paling hangat ketika ini menjadi inspirasi kepada ramai anak muda yang mahu melibatkan diri dalam bidang fesyen. Sedar atau tidak mana-mana majlis karpet merah sekalipun pasti ada saja selebriti yang tidak mahu ketinggalan mendapat sentuhan mereka untuk tampil glamor. Kami berkongsi pengalaman buat pembaca akan aspirasi yang dibawa dua anak muda ini.

CERITAKAN IDEA DI SEBALIK JENAMA RIZMAN RUZAINI
Idea ini tercetus ketika kami masih lagi menuntut di peringkat ijazah. Hubungan baik antara kami membuatkan ia menjadi kenyataan. Tambahan pula ketika itu di Malaysia belum ada satu label yang hadir dengan dua pereka, jadi kami mencuba dan menubuhkan jenama ini.

KUNCI GAYA PADA SETIAP REKAAN ANDA?
Kami menekankan gaya mewah tetapi stylish. Elemen klasik akan disuntik pada setiap rekaan bagi mewujudkan gaya elegan dan sofistikated.

ANDA PEREKA DUO PERTAMA DI MALAYSIA YANG BERJAYA MENCIPTA NAMA BESAR DALAM INDUSTRI FESYEN TEMPATAN. APA PERKARA TERBAIK YANG DILIHAT APABILA BEKERJASAMA BERBANDING PEREKA LAIN YANG BERGERAK SENDIRI?

Alhamdulillah, penerimaan masyarakat Malaysia terhadap label Rizman Ruzaini Creations sangat baik. Kami lihat masyarakat kini mahukan sesuatu yang baru dan segar daripada segala aspek. Kelebihan kami bergerak berdua adalah perkongsian dua idea yang boleh diterjemahkan dalam setiap rekaan. Selain itu, kami juga bersilih ganti untuk mencari idea baru setiap kali sebelum mengeluarkan satu koleksi. Cabaran atau dugaan juga kami kongsi bersama dan ia mampu membuatkan kami lebih kuat mengharunginya.

CABARAN TERBESAR DALAM MENGUKUHKAN JENAMA INI?
Cabaran pada awalnya adalah dari segi kewangan kerana kami berdua dilahirkan dalam keluarga sederhana serta tiada pengalaman dalam bidang perniagaan. Namun kami mengambil langkah untuk mencuba serta tidak putus asa dan terus berusaha untuk meneruskan jenama ini. Alhamdulillah setelah lima tahun bertapak jenama ini terus dikenali dan bergerak kukuh sehingga hari ini.

KEKUATAN JENAMA RIZMAN RUZAINI BERBANDING JENAMA LAIN?
Kekuatan yang ada pada kami adalah produk yang kami hasilkan. Kami amat cerewet dan menekankan kualiti terhadap setiap rekaan. Bagi kami setiap busana yang dihasilkan adalah ‘masterpiece’ serta secara tidak langsung menjadi duta kecil mewakili jenama ini untuk mendapat perhatian umum.

PENGAJARAN BERGUNA SEPANJANG BERGELAR PEREKA FESYEN?

Jaminan kualiti! Itu adalah pengajaran awal kami bergelar pereka. Ketika kami masih hijau dalam bidang ini, kami lebih mementingkan pada rekaan berbanding kemasan. Namun dari sini kami belajar agar kedua-duanya selari sekali gus menghasilkan busana yang tidak hanya hadir dengan rekaan menarik tapi juga kemasan yang menjamin kualiti.

INSPIRASI DAN IDEA
Idea selalunya datang dengan melihat fashion forecast serta trend semasa. Tapi kami amat mementingkan permintaan serta harus bertepatan dengan budaya kita.

KEBANYAKAN REKAAN JENAMA INI ADALAH CUSTOM MADE, TIDAK MAHU MENCUBA PASARAN UMUM DENGAN MEREKA PAKAIAN READY TO WEAR?
Memang ada dalam perancangan malah kami telah pun menghasilkan sample piece bagi tujuan percubaan serta kaji selidik. Tetapi untuk permulaan, ia lebih bersifat tradisional kerana permintaan terhadap stail begini amat tinggi di Malaysia. Jika tiada halangan kami akan bermula tahun hadapan melalui label RR by Rizman Ruzaini.

INDUSTRI FESYEN TEMPATAN BANYAK DIMONOPOLI PEREKA LELAKI BERBANDING WANITA. PANDANGAN ANDA TENTANG FENOMENA INI?
Fenomena ini telah lama berlaku dari zaman pereka senior lagi. Kami menganggap hal ini berlaku kerana lelaki lebih tahu serta memahami gaya yang sepatutnya dan molek buat wanita. Ini mungkin kerana dalam industri fesyen ia bersifat bertentangan. Lelaki lebih mudah memahami wanita dalam gaya apa yang patut atau tidak.

MASALAH TERBESAR INDUSTRI FESYEN TEMPATAN MENURUT ANDA?
Kami merasakan untuk mengekalkan momentum sesuatu jenama. Ini kerana dari hari ke hari, pereka fesyen yang muncul di Malaysia bagai patah tumbuh hilang berganti. Amat penting untuk seseorang pereka mengekalkan label ataupun jenama mereka agar terus diterima dan rasional dengan keadaan semasa. Di sini kami melihat kualiti yang akan membantu dan membezakan satu label dengan label yang lain.

SEJAUH MANA JENAMA RIZMAN RUZAINI CREATIONS MAHU ANDA BERDUA BAWA?
Kami melihat Rizman Ruzaini Creations satu hari nanti sebagai satu label fesyen yang lengkap. Bukan sahaja mengeluarkan koleksi made to measure, malah mengeluarkan koleksi ready to wear mengikut musim dan juga siri penggayaan dari set solekan, haruman hinggalah ke beg dan kasut.

JENAMA FESYEN ANTARABANGSA YANG MENJADI RUJUKAN?

Kami amat meminati John Galliano kerana kebijaksanaannya menggabungkan unsur eksentrik dalam femininity. Kami menganggap ideanya amat ‘briliant’. Setiap koleksi atau trademark baru yang dihasilkan pasti mendapat perhatian dunia.

VISI JENAMA INI

Kami mahukan label ini menjadi satu trendsetter di Malaysia dan pasti saja mahu melebarkan lagi sayap jenama ini ke peringkat lebih tinggi.

NASIHAT BUAT YANG INGIN MENCEBURI BIDANG FESYEN SEBAGAI PEREKA FESYEN?
Anda harus rajin berusaha dan ambil semua peluang yang ada di depan mata serta manfaatkan sebaiknya. Yang paling penting usah menindas orang lain kerana itu adalah kunci pada kejatuhan.

 

HELAIAN ASAS UNTUK TAMPIL WOW >>

2 Responses to “Inspirasi: Rizman Ruzaini”

Read below or add a comment...

Trackbacks

  1. content says:

    content

    Inspirasi: Rizman Ruzaini – EH!

  2. make money on line

    Inspirasi: Rizman Ruzaini – EH!



Komen Anda

*