Kekasihku Metroseksual

Teks: Izni Jalil

Seiring arus kemodenan, lelaki juga sudah pandai bergaya. Malah, ada yang lebih bijak menata gaya daripada wanita sendiri. Apa kelebihanmu jika punyai kekasih ‘cantik’ begini?

Teman membeli-belah

Sering kelihatan di kawasan membeli-belah di mana wanita sibuk berbelanja sakan di dalam premis manakala pasangan mereka pula setia menunggu di luar. Bukan semua lelaki boleh melayan kerenah anda tatkala cerewet memilih barangan sehingga berjam lamanya. Lain pula halnya jika kekasihmu itu di kalangan lelaki metroseksual. Mereka tidak kisah untuk menunggu malah sanggup menemani serta memberi pandangan mengenai pilihan anda.

 

“2 jam untuk bersiap? Tidak mengapa…”

Mereka tidak pernah merungut jika anda bersiap dalam masa yang lama hanya untuk makan malam di kedai mamak berhampiran. Mereka juga apa kurangnya tatkala merias rambut agar sentiasa kelihatan wavy dan kemas ketika bersama anda.

 

Punca untuk jadi lebih baik

Sanggupkah anda untuk mempunyai kekasih yang jauh lebih kemas dan sihat tubuh badannya daripada diri anda sendiri? Dengan dia di sisi, anda akan cuba sehabis baik untuk tampil seiring dengan si dia. Secara tidak langsung, ia dapat membakar semangat anda untuk jadi lebih baik dengan mengawal pemakanan seharian, bersenam untuk tubuh badan yang lebih menarik serta tampil dengan gaya yang sedap mata memandang.

 

Lebih banyak persamaan

Kebiasaannya, lelaki metroseksual gemar perkara yang berkaitan dengan seni, muzik dan juga fesyen. Dia boleh menjadi teman baik anda untuk melakukan hobi kalian bersama! Tiada lagi keluhan dan rasa tidak puas hati sebelah pihak yang tidak bersetuju dengan pilihan lokasi bertemu janji.

 

Wanginya dia!

Sesetengah lelaki memandang enteng perihal kebersihan serta penampilan diri, dan ini yang menjadikan perasaan kurang senang bersarang di dalam hati pasangan mereka. Sebagai contoh, bau badan yang ketara tanpa palitan wangian benar-benar menjengkelkan. Tetapi jika berdamping dengan kekasih metroseksual, anda seakan sentiasa mahu mendakapnya dengan wangian yang begitu menyenangkan justeru membangkitkan rasa selesa.

 

Tahu buat keputusan

Ada segelintir wanita bertanggungjawab dalam penampilan pasangan mereka dan sering risau jika penampilan tidak kena majlis. Namun, kekasih metroseksual anda dapat mengurangkan tekanan sedia ada kerana mereka sendiri tahu apa yang patut digayakan dan berkongsi pendapat dengan anda.

 

Jiwa sensitif

Lelaki metroseksual lebih cenderung untuk memahami kelembutan jiwa yang anda miliki. Walau tidak seratus peratus faham apa yang anda lalui, namun mereka boleh menjadi pendengar yang baik. Mereka tahu apa yang wanita mahukan, seperti bunga di hari lahir dan makan malam romantis tanpa perlu berkira berapa banyak wang yang dihabiskan untuk anda.

 

Kurang ego

Bukan bererti label sebagai lelaki metroseksual menjadikan mereka tiada martabat diri dan mudah dipijak. Ego sebagai seorang lelaki masih ada, namun mereka tahu bagaimana mengawalnya. Mereka tidak kisah untuk membantu di dapur atau memegang sebentar tas tangan asalkan dapat memudahkan serta menggembirakan anda.

 

MASALAH SEKS WANITA >>

Komen Anda

*