Perancangan Hutang

Teks: Izni Jalil
 
Hutang budi dibawa mati, hutang duit merana diri.
 
Tanpa disedari, wang gaji setiap bulan habis tanpa sempat anda membelanjakannya, apatah lagi untuk membuat simpanan. Dalam dunia yang semakin maju dan wang menjadi perkara utama, hutang lapuk menjadi perkara biasa dalam kehidupan seharian. Apa itu hutang lapuk?
 
hutang
 
Hutang kerana perkahwinan

Enak memadu asmara ketika waktu belajar, sudah tiba masanya si jejaka masuk meminang gadis impian sejurus tamat pengajian. Jika ditunggu lebih lama, takut melepas pada kumbang lain pula. Namun, jarang ada anak muda yang mampu untuk berkahwin dengan kos perkahwinan di bandar melebihi RM30,000. Lalu, pinjaman di bank menjadi penyelesaiannya. Majlisnya hanya sehari, tetapi beban hutangnya sehingga 10-15 tahun!

 

Hutang membeli kenderaan

Walaupun anda mampu untuk membayar pembiayaan kereta sebanyak RM900 sebulan, cuba kawal nafsu anda untuk mempunyai kenderaan mewah dan pastikan wang simpanan anda memungkinkan anda untuk memilikinya. Kenalpasti juga adakah kenderaan yang anda beli itu sesuai untuk penggunaan jangka masa panjang atau hanya sekadar memuaskan nafsu mudamu.

 

Hutang kad kredit

Ini antara sebab mengapa anak muda ramai diisytiharkan muflis dek kerana rakus berbelanja menggunakan kad kredit. Jika anda bukan pengguna yang berdisiplin, lupakan saja hasrat untuk memiliki walau satu kad kredit. Selain itu, setiap penggunaan kad kredit dikenakan cas yang terlalu tinggi dimana kebanyakan pengguna tidak menyedarinya. Penggunaan kad kredit mendorong anda berbelanja lebih dari apa yang anda mampu. Kerana itu, ukurlah baju di badan sendiri agar tidak merana di kemudian hari.

 

Hutang membeli rumah

Memang tidak disangkal, rumah adalah perkara wajib dalam keperluan asas hidup. Semestinya membuat pinjaman untuk membeli rumah bukanlah sesuatu yang salah.  Kerana itu, anda perlu bijak melabur dan tahu merancang. Jika anda hidup bujang atau baru berkahwin dan memulakan keluarga, rumah apartment dengan tiga bilik dan dua bilik air adalah pilihan yang tepat. Dalam jangka masa 5 atau 10 tahun kemudian, sudah tiba masa anda beralih arah untuk membeli rumah yang lebih selesa seiring dengan kemampuan yang dimiliki. Rumah lama itu kemudian disewakan bagi menjana pendapatan sampingan.

 

Hutang membeli kelengkapan rumah

Kebanyakan penjual perabot dan juga barang elektrik kini mula memperkenalkan perkhidmatan ansuran mudah. Pengguna semestinya tertarik dengan perkhidmatan ini sementelah untuk memilikinya dengan pembayaran tunai dalam satu masa adalah mustahil. Pelbagai caj tersembunyi dan tambahan dikenakan dan hanya dipandang sebelah mata oleh pengguna. Tambahan pula, ada barangan yang tidak tahan lama sekaligus mensia-siakan wang anda.

 

Komen Anda

*