|
ANDAI KAMU DIANGKAT
MENJADI KETUA, ADA
BEBERAPA PERKARA
MESTI DILAKUKAN
JIKA MAHU PEKERJA
HORMAT DAN
MENURUTI ARAHAN.
Oh, seronoknya pabila dinaikkan pangkat.
Hasil kerja keras selama ini akhirnya
dipandang dan diiktiraf orang. Tetapi dalam
seronok meraikan kejayaan, jangan lupa
persiapkan diri. ‘Cantikkan’ sikap sebelum
pekerja menjadi meluat.
DISIPLIN Jangan jadi seperti ketam
mengajar anak berjalan lurus. Sebelum
meminta pekerja anda mematuhi peraturan,
anda seharusnya menjadi contoh yang
baik kepada mereka. Jangan jadi seperti
sesetengah orang yang menganggap
pabila mereka menjadi ketua mereka
bebas melakukan apa sahaja, boleh keluar
masuk pejabat sesuka hati. Sebagai ketua
anda patut menjadi contoh, patuhi segala peraturan. Pabila anda berdisiplin anda
tidak berasa segan untuk menegur orang
bawah yang melanggar peraturan.
JANGAN PILIH KASIH Seorang
ketua yang baik ialah ketua yang adil. Jauhi
sikap favouritism kerana ia mewujudkan
rasa benci dan iri pada sesetengah pekerja.
Jangan berat sebelah. Layan anak buah
anda sama rata.
RENDAH DIRI Sebagai ketua jangan
sesekali meninggi diri dan memandang
rendah pada pekerja. Layan semua pekerja
dengan baik termasuklah tukang cuci di
pejabat. Tiada salahnya jika anda yang
pertama mengucapkan selamat pagi pabila
bertemu. Senyuman manis juga sudah
memadai. Hormati orang lain jika anda ingin
dihormati.
TETAP PENDIRIAN Sebagai ketua anda perlu ada sifat tegas
dan tetap pendirian. Lemah-lembut itu
perlu namun sifat tegas mengawal rentak
pekerja anda. Yakinlah dengan keputusan
yang dibuat dan jangan goyah walaupun
kepercayaan anda diganggu-gugat.
|