|
TEMASYA MERDEKA UMPAMA TERBUKA LUASNYA KESEMPATAN. SELAIN BERPESTA SAKAN KERIANGAN, INILAH MASA YANG TEPAT UNTUK ‘MENGAWAN’!
Saya bangga menjadi anak Malaysia. Selain daripada semangat perpaduan dan harmoni di kalangan kaumnya yang berbilang bangsa, Malaysia juga meriah dengan pelbagai sambutan atau temasya sepanjang tahun. Sebagai anak jati kota metropolitan, saya juga yang tidak ketinggalan meraikan sambutan kemerdekaan kala berkesempatan. Senarionya cukup meriah sementelah golongan yang meraikannya juga bersikap terbuka. Cuma, satu perkara yang kurang enak untuk dibicarakan, pabila sambutan merdeka dan tahun baru menjadi tempat melempias nafsu. Ada antara gelagatnya yang tidak sanggup dipandang mata. Ia cukup membimbangkan dan kian giat menular. Umpaman api dalam sekam, dalam diam membakar musbah bukan sahaja nilai moral malah, maruah bangsa.
“Kau percaya tak, setiap kali malam merdeka hotel-hotel murah waima rumah tumpangan yang daif pun laris. Selesai berpesta di jalanan, pasti ramai yang
akan menyambung temasya yang lebih mengasyikkan!” kata seorang teman membunuh sebentar lamunan saya yang leka mengamati gelagat beberapa kelompok manusia sedang riuh ketawa gembira.
“Aku boleh buat satu kesimpulan. Sambutan tahun baru dan merdeka di Malaysia tidak ubah macam ‘musim mengawan’. Lepas saja tiga bulan, maka sibuklah klinik dengan tempahan pengguguran bayi secara haram atau… kalau sudah tidak berwang, budget tak cukup, bidan kampung pun jadi…,” sambung teman tadi sambil tersenyum sumbing.
“Paling sibuk, sudah tentulah Rumah Perlindungan Wanita. Ramai yang meninggalkan benih temasya mereka di sana. Sekurang-kurangnya, mereka yang seperti ini masih lagi berhati perut jika dibandingkan dengan golongan yang bersikap seperti haiwan. Buang anak atau janin macam buang tisu tandas saja lagaknya…tak ada peri kemanusiaan langsung!,” gerutu saya cukup marah dengan sikap sesetengah daripada kita; tahu menikmati kesedapan bersama tetapi aibnya terbiar tanpa rasa tanggungjawab. |