Pabila Ziana Zain sudi menerima lamaran menjadi penghias
EH! bulan ini, kami di EH! bersorak gembira. Masakan
tidak, sejak penghujung tahun lalu kami sudah menghantar
pinangan namun empunya badan masih belum bersedia untuk
diabadikan sebagai penghias muka depan. Malah namanya antara
yang tersenarai awal saat kami memilih 10 nama untuk EH! 10
Yang Anggun tahun lalu, namun sayang ketika itu wanita kelahiran
Merlimau, Melaka ini baru sahaja melahirkan bayi kembarnya,
Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh.
Jam 12 tengahari wajah penyanyi berusia 42 tahun ini sudah
menjengah di studio. Setia bersama pengurusnya, Lisa, Ziana
tampil ringkas bergaun labuh hitam dipadankan bersama kardigan
separa rona sama. Saat bersalaman sempat saya mengucapkan
tahniah padanya kerana dia dan protegenya Mohd berjaya
melangkah ke separuh akhir Mentor (penggambaran dijalankan
dua hari selepas kejayaannya).
RAGAM PEMINAT
Bagi penonton setia Mentor pasti
mengenali ragam salah seorang peminat Ziana Zain, yang dikenali
sebagai Ziana Zain 2. Saat diajukan pertanyaan tentang ragam
peminatnya seorang itu Ziana hanya tersenyum. “Saya sebenarnya
sangat bersyukur, peminat saya datang dari pelbagai golongan,
usia, jantina dan bangsa. Dan sebagai artis saya memang
berterima kasih kepada mereka yang menyokong saya selama
ini. Malah ada juga yang SMS beritahu yang dia berbelanja besar
semata-mata hendak menyokong protégé saya di Mentor,”
jelasnya terharu.
“Saya melayan setiap peminat semampu yang boleh. Saya tidak
pernah membezakan mereka. Jika ada masa sekali-sekala saya
ajak 10 ke 20 orang peminat saya lepak makan, belanja nasi lemak
ke teh tarik atau roti canai. Jika ada masa mengapa tidak. Saya
layan mereka seperti rakan dan adik-adik saya, asalkan mereka
menghormati saya sebagai kakak. Dan setakat ini Alhamdulillah
mereka menghormati saya dan tidak pernah bertanyakan soalan-soalan
berbaur peribadi,” jelasnya lagi.
|