Sebut saja judul filem, pasti ramai yang akan mengatakan, “Filem ni memang best!” Dari plot hingga watak mahupun gaya fesyen yang ditonjolkan, semuanya membuatkan penonton terus ‘berangan’ memasuki dunia fesyen serta hubungannya dengan pihak editorial yang terkenal dan berpengaruh. Melihat lakonan Meryl Streep sebagai Miranda, seorang bos yang menentukan selok-belok trend fesyen bukan sahaja angkuh, malah lagak diva yang ditonjolkan membuatkan Andrea (Anne Hathaway) berdepan situasi ‘neraka’.
Sementara pembantu editorial, Emily (Emily Blunt) pula memastikan Andrea melakukan kerjanya sebagaimana yang dikehendaki Miranda. Difahamkan, filem ini mempertontonkan realiti gaya bekerja Ketua Pengarang majalah Vogue Amerika Syarikat, Anna Wintour. Selain itu, filem ini juga berasal dari antara novel terlaris yang ditulis Lauren Weisberger.
Genre: Komedi & drama
Pelakon: Meryl Streep, Anne Hathaway, Emily Blunt dan Stanley Tucci
‘Snow Queen’, ‘Ice Woman’…begitulah antara nama-nama yang digelarkan kepada Ketua Pengarang majalah Vogue, Anna Wintour. Karakternya yang sentiasa serius, kerap menghamburkan kata-kata yang pedas juga obses dengan kerjaya menyebabkan Anna bukan mudah untuk didekati. Bagaikan Raja Midas yang memiliki sentuhan emas, begitu juga Anna yang mempunyai kuasa dalam menentukan hala tuju trend fesyen seluruh dunia.
Betapa berkuasanya wanita ikonik ini menyebabkan Pengarah, R.J Cutler merakamkan filem berbentuk dokumentari, The September Issue. Filem memaparkan bagaimana Vogue menantikan isu September diterbitkan, iaitu antara detik paling penting buat mereka. Menghasilkan hampir 700 helai mukasurat, isu September bukan calang-calang terbitan. Adakalanya mereka bertelagah, berselisih pendapat, tidak berpuas hati dan tertekan demi menghasilkan isu yang benar-benar berimpak. Paling unik, melihatkan keadaan, susun atur malah wajah setiap team Vogue saling tidak tumpah sebagaimana yang ditonton dalam filem Devil Wears Prada.
Genre: Dokumentari
Pelakon: Anna Wintour, Coca Rocha, Very Wang
Ramai wanita terasa bagaikan disuntik dengan inspirasi yang menakjubkan selepas menonton filem arahan Michael Patrick King ini. Menjulang martabat wanita yang tidak gentar dengan cabaran terutama melibatkan dominasi lelaki mahupun penonjolan kecantikan, tidak hairan mengapa tayangan filem ini dibanjiri jutaan penonton wanita.
Memaparkan kehidupan empat orang wanita-Carrie (Sarah Jessica Parker), Samantha (Kim Cattrall), Charlotte (Kristin Davis) dan Miranda (Cynthia Nixon), mereka mempunyai kekuatan tersendiri. Tidak hanya digelar perempuan, mereka juga bergelar ibu, teman wanita, wanita berkerjaya juga ikon, semuanya menjadikan mereka kekal erat sebagai sahabat untuk saling membantu antara satu sama lain. Paling digemari, gaya fesyen mengikut personaliti yang cukup ikonik juga escapade mereka yang penuh glamor!
Genre: Komedi
Pelakon: Sarah Jessica Parker, Cynthia Nixon, Kim Cattrall, Kristin Davis dan Chris Noth.
Jenama Chanel memang sinonim dengan rekaannya yang klasik namun timeless. Jaket berkolar bulat dilengkapi piping, fabrik tweed dan rantaian mutiara menjadi statement dalam koleksi jenama ini. Bagaimana, dari mana dan mengapa kesemua elemen ini begitu kuat dalam Chanel-jawapannya ada di dalam filem yang dibintangi Audrey Tautou ini. Membawa watak Gabrielle ‘Coco’ Chanel, keunikan dan ciri eksentrik Audrey menghidupkan lagi watak Coco.
Coco yang membesar sebagai anak yatim bersama kakaknya, pernah menjadi penyanyi kabaret untuk menghiburkan para askar. Demi meneruskan kehidupan, Coco juga bekerja di sebuah toko menjahit. Namun, segalanya berubah apabila Coco tinggal bersama bangsawan, Ettienne Balsan sebelum menemui cinta hidupnya, Boy Capel (Alessandro Nivola). Menentang fesyen wanita era itu, Coco tampil dengan gaya tersendirinya…hasil inspirasi pakaian Boy yang amat dicintai Coco.
Genre: Biografi
Pelakon: Audrey Tautou, Alessandro Nivola, Benoit Poelvoorde dan Emmanuelle Devos
Seperti dalam gambaran menerusi judul filem yang berbentuk dokumentari ini, tidak dinafikan penaklukannya dalam dunia fesyen tiada bandingan. Seksi, romantik, feminin, berkuasa, cantik, classy…semuanya bersatu dalam setiap helaian yang direka legenda fesyen, Valentino Garavani. Diarah dan diterbitkan Matt Tyrnauer, iaitu penulis khas majalah Vanity Fair, filem ini dijadikan paparan istimewa sebelum Valentino meninggalkan syarikat yang dibinanya selama 45 tahun di Rom.
Tidak kurang juga ada yang menitiskan air mata sebaik tamatnya pertunjukan fesyen dalam meraikan kerjaya Valentino sebagai pereka fesyen legenda dunia. Turut diselitkan, paparan Valentino sewaktu ‘zaman’ mudanya termasuk selebriti, bangsawan dan orang-orang ternama yang pernah meminjam kebijaksanaan Valentino dalam helaian fesyen mereka.
Genre: Dokumentari
Pelakon: Valentino, Claudia Schiffer, Gwyneth Paltrow, Alessandro Facchinetti, Giorgio Armani


