
Jika anda buntu untuk memilih novel mana untuk dimiliki, mungkin karya Jeremy Chin ini mampu menjadikan hari anda terisi dengan hasil penulisan mengagumkan ini. Berjudul Fuel, anda akan dibawa dengan suatu emosi yang amat pilu hingga mungkin membuatkan anda menangis!
Mengisahkan tentang seorang jejaka muda yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Kreatif di sebuah syarikat di London, Timothy yang disenangi orang ramai kerana karakternya yang berkarisma selain bijak dalam mencetuskan pelbagai ilham kreatif. Disebabkan itu, namanya juga gah di syarikatnya memandangkan prestasi yang diperlihatkannya begitu memuncak. Tidak hairanlah mengapa Timothy turut dikenali serata London malah digelar sebagai individu paling kreatif!
Namun, impian jejaka ternama itu tidak hanya melibatkan kejayaan dalam kerjayanya tetapi dia turut menyimpan suatu impian luar biasa yang membawanya ke bandar Big Apple iaitu New York untuk mencipta rekod baru dalam hidupnya. Timothy berhajat untuk memenangi New York Marathon yang semestinya memerlukan kekuatan fizikal dan minda bagi mencapai impiannya itu. Jika sebelum ini namanya cukup disegani di negara asalnya, kini Timothy sanggup meninggalkan segalanya di sana demi mencari kepuasan di New York dan berlari mengecap victory.
Persoalannya, adakah impiannya itu mudah untuk dicapai? Sepertimana yang kita ketahui, tidak semua kejayaan mampu digenggam dengan mudah tanpa tangisan, kepayahan dan keperitan yang boleh membuatkan semangat mudah jatuh tersungkur. Tetapi Timothy tekad dengan azamnya untuk melakukan apa yang sepatutnya dalam mengejar hasratnya itu. Namun ada sesuatu yang tidak jangka berlaku. Apa yang terjadi?
Dapatkan novel menarik ini untuk mendalami mesej yang cuba disampaikan Jeremy memandangkan karya ini terhasil melalui pengalaman dan insiden sebenar yang disaksikan dan dilaluinya.


