FitFlop: Sandal Smart Abad Ini

Jenama rangkaian kasut FitFlop memberi keselesaan dan menjaga kesejahteraan kaki tanpa menggadaikan gaya. Timbalan Naib Presiden Pengurusan Jenama Serantaunya, Camille Rosela Ines, berkata kasut jenama itu dianggap sebagai “The most comfortable shoes in the world!” Dan, saya kira kata-katanya di acara pelancaran FitFlop musim panas yang berlangsung di Chi Fitness Centre itu ada benarnya. Selepas beberapa kali saya memakai sandal FitFlop, ia seolah-olah memberi tenaga luar biasa, kaki tidak berasa letih dan postur badan saya juga menjadi lebih baik. Paling menarik, sandal ini berketinggian lebih satu inci, hatta meningkatkan keyakinan diri semasa melangkah. Malah kehadiran Camille ke majlis itu juga nampak cukup kemas walaupun sekadar menggayakan baju dan skirt draped hitam bersama sandal FitFlop polos jingga.

Perbualan kami pada majlis itu juga mengangkat kebijaksanaan Marcia Kilgore, pemilik jenama FitFlop. Mungkin permulaan idea untuk memiliki jenama kasut tampak janggal kerana Marcia asalnya pengusaha Bliss Spa pada tahun 90-an, kemudian memperkenalkan jenama produk kelengkapan peribadi wanita, Soap & Glory yang direkanya penuh catchy dengan ilustrasi grafik dan pemilihan botol rona merah jambu. Kesibukannya mengurus kedua-dua produk kecantikan dan anak-anak, membuatkan dia terfikir “alangkah baiknya jika memiliki kasut yang memberi manfaat pada kaki terutamanya semasa berjalan.”

Maka pada musim bunga 2007, FitFlop berjaya diperkenalkan di pasaran dengan usaha sama biomechanists Dr David Cook, Darren James dan Marcia Kilgore sendiri selepas membuat kajian mengenai bahan tapak kasut Fitflop. Dinamakan Microwobbleboard, ia menggunakan teknologi yang tersembunyi di bawah tapak lantas memberi keselesaan berganda semasa menyarungnya. Bahan ini dapat memberi tekanan sama rata pada semua bahagian tapak depan, tengah dan belakang. Demonstrasi dibuat dengan meletakkan pad kulit pengesan di bawah tapak kasut dan disambung bersama wayar, lalu kesan tekanan itu dicatatkan melalui komputer riba.

Keputusan ini jelas berbeza jika anda menyarung kasut tumit lain misalnya, lampu rangsangan hanya akan tercatat di bahagian depan atau belakang sahaja kerana kesan tekanan tidak seimbang berbanding FitFlop, tekanannya sama pada keseluruhan tapak.

Sehubungan itu juga pelbagai testimoni telah diterima daripada pengguna Fitflop antaranya dapat mengurangkan selulit, membakar lemak dan menegangkan otot, namun kata Camille, kesannya pada individu adalah berbeza-beza. Baginya, sepanjang dia menyarung selipar ini, lututnya tidak lagi berasa perit lebih-lebih lagi berjalan dalam tempoh yang lama. Kesan ini turut sama dirasai oleh anak perempuannya tatkala berjalan seharian sewaktu melancong ke Hong Kong.

Menyedari akan kemunculan beberapa jenama selipar selesa seumpama ini, malah turut bercirikan tapak kasut tebal, keunikan FitFlop ialah tapaknya lebih ringan dan direka melengkung di bahagian tapak kaki serta memberi cengkaman yang kuat tatkala berjalan. Getah berteknologi tinggi ini dipadankan dengan rekaan tali kulit lembu yang dapat mengurangkan kesan melecet semasa menyarung. Setiap kasutnya diuji dengan pembuatan teliti di kilang-kilang yang berada di China dan Vietnam sebelum dihantar kepada lebih 20 kumpulan perekanya. Ini termasuklah bahan lain yang bakal digunakan untuk setiap koleksi sama ada kulit lembut mahupun kanvas.

Teks Yana Baharudin
Gambar FitFlop

Komen Anda

*